Guru Kemalangan Dalam Perjalanan ke Sekolah akibat Kereta Keluar Simpang Tiba-tiba



KUALA PILAH – Seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Kurshiah Kuala Pilah mengalami patah kaki kiri dan bahu kiri selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang keluar dari simpang di Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir berhampiran Taman Anggerik awal pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, mangsa, Osman Jaafar, 30, menunggang motosikal jenis Honda Wave secara sendirian dalam perjalanan ke SK Tunku Kurshiah Kuala Pilah dari arah rumahnya di Kampung Dato’ Muda Serting.

Osman berkata, ketika tiba di tempat kejadian, sebuah kereta Perodua Kancil keluar dari arah simpang kiri secara tiba-tiba.

“Dari jarak penglihatan saya sejauh 50 meter, saya perasan pemandu kereta itu menoleh ke arah saya, seperti dia mahu berhenti.

“Tetapi secara tiba-tiba, kereta terbabit itu terus keluar dari simpang secara teragak-agak hingga menyebabkan saya terpaksa menekan brek kecemasan," katanya.

Menurutnya, dia cuba mengelak, namun kerana terlalu dekat, motosikalnya melanggar tayar belakang sebelah kanan kereta berkenaan hingga menyebabkannya tersungkur di atas jalan raya.

“Akibat pelanggaran itu, kaki kiri dan bahu kiri saya patah manakala bahagian hadapan motosikal saya rosak. Orang awam membantu mengangkat saya ke tepi jalan,” katanya.

Sementara itu, pemandu kereta Perodua Kancil hanya mahu dikenali sebagai Ali berkata, ketika kejadian dia sedang keluar dari simpang Taman Anggerik untuk melintas ke arah kanan jalan.

“Saya mahu menghantar dua cucu ke SK Batu Kikir yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah.

“Saya memang perasan ada sebuah motosikal datang dari arah Batu Kikir dan saya sangka ia masih jauh.

“Namun sangkaan saya meleset apabila, motosikal itu terlalu hampir dan cuba mengelak kereta saya tetapi bertembung juga,” katanya.

Mangsa dibawa oleh ambulans untuk mendapatkan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

sumber- SH
 

0 Response to "Guru Kemalangan Dalam Perjalanan ke Sekolah akibat Kereta Keluar Simpang Tiba-tiba"

Post a Comment