Cabaran Ibu bapa Menjaga Anak Istimewa Cerebral Palsy


“SATU hari, di pejabat saya tiada ‘mood’ hendak buat kerja. Petang itu saya pulang ke rumah. Wazif yang terlentang di ruang tamu buat kali pertama merenung saya. Seolah-olah hati saya dan hati dia berkomunikasi. Pa... pa ada masalah ke? Ok... di pejabat memang ada masalah. Kalau papa, boleh bawa kereta, boleh bekerja, boleh buat semua... dibandingkan dengan keadaan saya yang macam ini... siapa yang ada masalah lebih besar?”

“Baru saya tersedar. Rumah, kereta dan aset boleh dicari. Rehabilitasi untuk Wazif kena tanggung untuk buat perubahan positif kepadanya. Siapa yang perlu buat semua itu untuk Wazif kalau bukan saya dan isteri?”

Itu luahan Hasan Suyut, 45, bapa kepada seorang anak istimewa, Atiq Wazif, 12, pesakit cerebral palsy (CP) atau keabnormalan perkembangan otak yang menyebabkan kelemahan dan ketiadaan koordinasi pada anggota tubuh.



Pada peringkat awal, pelbagai ujian diagnosis gagal mengesan punca penyakitnya.
Wazif sering sakit dan hospital menjadi rumah keduanya.

Bapa lima anak itu tidak pernah kenal erti jemu dan putus asa dalam memulihkan anak istimewanya. Sentiasa berfikiran positif, Hasan menganggap Wazif satu anugerah daripada Allah. Baginya, pengalaman hidup tidak akan diperoleh jika seseorang itu tidak menempuhi ranjau dan onak.

Atiq Wazif yang mengalami CP teruk tidak diberi harapan untuk hidup sempurna.
Empat tahun pertama kehidupan, kanak-kanak itu hanya terbaring lesu, tidak mampu bercakap, ototnya beku dan hanya mampu minum susu.

“Cerebral palsy ialah sel otak mati apabila mengalami kerosakan atau tercedera.
Mungkin bagi sebilangan orang, istilah itu kedengaran kasar, tetapi itulah bahasa paling mudah menerangkan mengenai penyakit ini.

“Walaupun sel otak rosak, ada sel yang masih baik. Apabila kanak-kanak CP diberi makanan tambahan, perkembangan positif boleh berlaku, misalnya jika dilatih menggenggam, akan ada pergerakan, begitu juga jika dilatih mengunyah makanan, kanak-kanak terbabit boleh menggerakkan geraham mereka,” katanya.

Menurutnya, anak istimewa mungkin dilihat sebagai beban, namun daripada pengalamannya, banyak hikmah diperoleh hingga ia benar-benar dirasakan sebagai satu anugerah.

“Apa juga bentuk dugaan dan cabaran, kita harus terima dengan hati terbuka.
Kita harus belajar untuk menghargai dan berbahagia dengan apa saja yang kita ada, walau sekecil mana.

“Apabila kita bersyukur dengan apa yang kita ada, kita akan dapat lebih banyak kenikmatan dan kesenangan. Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa perlu kuat.
Suami isteri perlu menerima kenyataan, di mana hendak mula dan tahu apa yang kita ada,” katanya.

Lulusan kejuruteraan dari Temple University, Philadelphia, Amerika Syarikat (AS) itu pada mulanya sukar menerima hakikat ketidaknormalan anaknya. Namun, kata-kata semangat daripada isteri, Dora Othman, 46, mengubah persepsinya.

Dalam ikhtiar memulihkan anak keempatnya itu, Hasan membuat pengorbanan besar.
Perniagaan yang dibuka pada 1998 terpaksa dijual bagi membolehkan dia membawa keluarganya merentas benua dan berhijrah ke Florida, AS.

Hasan turut menjual rumah, tanah dan kereta bagi membiayai rawatan untuk memulihkan Wazif dengan berulang alik ke China dari 2004 hingga 2006, disusuli penghijrahan ke AS sehingga 2010.

Walaupun banyak cabaran, membesarkan Wazif satu keseronokan. Kata Hasan, seperkara yang menarik, apabila mencium kepala Wazif, wanginya seperti bau kepala bayi walaupun Wazif berusia 12 tahun.

“Paling menggembirakan ialah apabila saya menguruskan Wazif seperti memandikan dan memakaikan baju, nampak perubahan demi perubahan. Sekarang dia boleh ambil roti dan masukkan ke dalam mulut dan menyedut minuman menggunakan straw.

“Dia juga boleh berjalan sambil memimpin tangan seseorang atau memegang tiang.
Jika ingin duduk, Wazif tahu untuk menolak kerusi berkenaan selain menuruni tangga,” katanya.

Menurutnya, sepanjang memelihara dan membesarkan Wazif, mereka sekeluarga tidak pernah putus rezeki. Rezeki bukan bermaksud memiliki wang ringgit yang banyak mahupun gaji besar semata-mata, tetapi kesenangan melakukan sesuatu perkara juga adalah rezeki.

“Satu fakta menarik, apabila berkahwin, pasangan suami isteri itu pada mulanya bergaji kecil, rumah kecil. Selepas itu ada pencapaian, rumah besar, kereta besar. Dilema ialah jika tidak bekerja, bagaimana hendak dapatkan semua itu.
Apapun, kalau kita berikan keutamaan kepada perkara yang memerlukan, rezeki akan kejar kita.

“Misalnya, selepas kami balik dari AS, kawan yang terputus hubungan ditemui semula. Mereka tanya apa yang saya lakukan sekarang dan ajak sertai syarikat.

“Selain itu, minggu pertama tiba di AS, saya bertemu Pak Arab yang pernah membuka kedai runcit pada 1980-an di sana dengan pekerjanya orang Melayu. Dia tanya sebab saya ke AS. Saya beritahu, saya datang untuk buat terapi anak.

“Kemudian, dia seluk poket dan berikan apa yang ada dalam poketnya. Sampai di rumah, saya keluarkan duit yang diberi. Selepas mengira, cukup memeranjatkan kerana jumlahnya sebulan makan pun tak habis. Selepas itu kami jadi kawan,” katanya.

Hasan melakukan bermacam kerja sepanjang di AS. Dua tahun terakhir di AS, dia membantu orang Iraq yang menjalankan perniagaan kedai roti tetapi tidak fasih berbahasa Inggeris.

“Saya katakan padanya, saya tolong jualkan rotinya. Kebetulan, seorang pelanggan di kedai itu yang selalu mendapatkan roti segar ialah orang putih.

“Wanita itu bertanya sama ada saya pembuat roti. Sebelum sempat saya menjawab, dia mengatakan saya bukan pembuat roti tetapi seorang yang istimewa.

“Dia memberitahu mengenai saya kepada suaminya, seorang jutawan dan mereka mengajak saya menyertai perniagaan mereka yang membuat komponen elektrik.

“Kalau saya tak jual roti, saya tak jumpa orang itu. Sesetengah orang fikir, ada ijazah takkan nak jual roti. Itu yang saya percaya, kalau kita bagi keutamaan pada satu perkara, Allah akan lorongkan rezeki kita tidak putus-putus,” katanya.

Hasan kini membuka kedai perkakasan di Subang Bestari, bergilir-gilir dengan ahli keluarga menjaga Wazif. Isterinya, guru yang mengajar sesi petang, akan menjaga Wazif di waktu pagi sementara Hasan ke tempat kerja. Kakak Wazif, Atiqah dan abangnya, Waiz akan menjaga dan memandikan Wazif jika tiada aktiviti di sekolah.

Pada 2008, Hasan menghasilkan buku berjudul Kembara Atiq Wazif : Satu Anugerah untuk berkongsi kisah suka duka kembara hidup anak istimewanya.

Buku yang diulang cetak pada 2010 itu tanpa disangka mendapat perhatian pengarah filem yang berminat mengabadikan kisah berkenaan ke layar perak dan kini ia dalam proses penghasilan skrip.

“Waktu buat buku itu, saya tidak pernah terfikir ia boleh buat duit atau filem, apatah lagi kami cuma orang biasa. Pengalaman ini diharap dapat memberi panduan kepada pembaca, khususnya yang mempunyai anak istimewa, untuk mendapat manfaat dalam mendapatkan rawatan sewajarnya di hospital untuk anak mereka,” katanya.

Berdasarkan maklum balas diterima daripada kembara Wazif, ada yang mengatakan Wazif beruntung kerana ibu bapanya kaya. Bagaimanapun, ketika di AS, Hasan pernah cuma ada AS$3 dolar (RM9.30) selain sewa rumah yang belum dibayar.

“Ketika ke masjid, seorang rakan dari Amerika Selatan mengajak saya sarapan.
Apabila hendak pulang, dia membelikan makanan bungkus untuk keluarga saya.
Allah yang aturkan hidup kita, oleh itu jangan terlalu banyak mengeluh.

“Kita asyik fikir benda yang kita tiada tetapi lupa apa yang kita miliki,” katanya yang mewujudkan hope2walk untuk membantu kanak-kanak seperti Wazif, namun pertubuhan itu belum mempunyai dana.

sumber : myMetro

0 Response to "Cabaran Ibu bapa Menjaga Anak Istimewa Cerebral Palsy"

Post a Comment