Bayi lelaki berusia 10 bulan merangkak di atas jalan selepas tercampak dalam kemalangan


Hiasan
Nilai: Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan dikatakan merangkak di atas jalan selepas tercampak daripada kereta yang kemalangan di Kilometer 28.1, Lebuh Raya Kajang Seremban (LEKAS), arah utara, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian 10 malam itu, bapa bayi berkenaan Mohd Remy Payarin, 37, yang memandu kereta Proton Wira itu maut di tempat kejadian manakala isterinya serta seorang lagi anak lelaki terselamat.

Sumber polis berkata, sebelum kejadian mangsa dan isteri berusia 30 an serta dua anak berusia tiga tahun dan 10 bulan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Lembah Klang selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara di Seremban.
Katanya, kereta dipandu Mohd Remy tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan sebelah kiri yang mengakibatkan anaknya berusia 10 bulan tercampak keluar.

Difahamkan, orang ramai menyaksikan bayi berusia 10 bulan terbabit tercampak daripada kereta ketika kenderaan itu mula mula terbabas dan nampak bayi itu merangkak atas jalan raya serta tidak cedera.

Menurutnya, kereta itu berpusing semula ke tengah jalan dan sebuah kereta jenis Proton Persona dari arah sama melanggar kenderaan dinaiki anak beranak itu.

"Berikutan itu Mohd Remy tercampak keluar daripada kereta dan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 

"Namun, isteri mangsa hanya patah tangan kanan manakala anaknya berusia tiga tahun yang berada di tempat duduk bayi tidak mengalami kecederaan," katanya.

Menurutnya, semua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat dan rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


sumber: Cari

0 Response to "Bayi lelaki berusia 10 bulan merangkak di atas jalan selepas tercampak dalam kemalangan"

Post a Comment