RIO DE JANEIRO: Sepanyol muncul negara kelima selaku juara Piala Dunia terkeluar daripada saingan pada peringkat pusingan awal selepas tewas 2-0 kepada Chile di
Maracana awal pagi tadi.
Berikut 5 sebab mengapa juara Piala Dunia 2010 dan Euro
2012 itu yang merudum prestasi mereka pada kali ini.
Masih berharap kepada pemain lama
Selepas tewas 5-1 kepada Belanda, pengurusnya Vicente del
Bosque terpaksa menggugurkan pemain bintang Xavi Hernandez serta Gerard Pique
dan digantikan dengan Pedro Rodriguez dan Javi Martinez. Walaupun ia dilihat
untuk memperkukuhkan pasukan, ia sepatutnya dilakukan lebih awal. Koke, pemain
tengah Atletico Madrid, yang penuh bertenaga dan semangat pula lewat
ditampilkan dalam pasukan.
Keputusan terus memberi kepercayaan kepada penjaga gol, Iker
Casillas terbukti satu kesilapan. Tambahan pula, kapten pasukan yang hebat
sebelum ini bukan lagi pemain tetap untuk kelabnya Real Madrid, tetapi Del
Bosque sepatutnya mempunyai banyak pilihan lain walaupun penjaga gol kedua,
Victor Valdes cedera.
Pertahanan yang longgar
Jika dia dipersalahkan, Casillas juga mungkin akan
menyalahkan barisan pertahanan yang sepatutnya mengawal dan melindunginya
setiap kali kubu mereka diserang. Lagipun, kejayaan Sepanyol pada 2010 dan Euro
2012 banyak bergantung kepada kehebatan pertahanannya mengekang asakan lawan.
Inspirasi Carles Puyol tiada kali ini. Gandingan pertahanan
tengah, Pique and Sergio Ramos amat cemerlang beberapa tahun lalu, tetapi gagal
menyerlah kali ini. Keputusan menurunkan Javi Martinez pula terbukti gagal
ketika menentang Chile. Kegagalan mengekang kepelbagaian formasi Belanda dan
Chile menyebabkan Sepanyol dibolosi tujuh gol hanya dalam dua perlawanan.
Pemilihan Diego Costa
Apabila Del Bosque memujuk Diego Costa mewakili negara
angkatnya dan mengenepikan negara asal Brazil, amat jelas bahawa bintang
Atletico Madrid itu akan menjadi pemain dalam kesebelasan utama. Bagaimanapun,
Sepanyol tidak membantu penyerang tengah itu menyesuaikan diri dengan corak
permainan pasukan itu.
Dia seorang pemain yang memerlukan ruang setiap kali
mendapat bola untuk merobek gol lawan, tetapi malangnya dia kelihatan seperti
‘dungu’ ketika berdepan dengan pertahanan Chile. Dia tidak selesa dalam posisi
itu sehingga rakyat Brazil sendiri bersorak memarahinya kerana memilih bermain
untuk Sepanyol.
Gagal berubah daripada tiki-taka
Sepanyol tersilap langkah kerana terlalu mempercayai sistem
itu yang amat berjaya dalam banyak kejohanan lalu. Corak permainan pasukan La
Roja digerakkan seperti cara permainan Barcelona sehingga mencipta banyak
kejayaan di bawah pengurus Pep Guardiola.
Namun, kejatuhan Barcelona dan bagaimana pasukan Bayern
Munich kendalian Guardiola diratah oleh Real Madrid dalam separuh akhir Liga
Juara-juara baru-baru ini, memberi isyarat bahawa era kehebatan tiki-taka telah
pun berakhir.
Ia terbukti apabila rentak permainan Chile yang memberi
tekanan kepada Sepanyol, menyebabkan pemainnya gagal membuat hantaran tepat dan
tidak mampu mengawal bola seperti ia melekat di kaki yang selama ini menjadi
kehebatan sebenar Sepanyol.
Bermain di Amerika Selatan
Pasukan Eropah memang sukar untuk menang Piala Dunia di
benua Amerika dan ia tidak pernah berlaku. Kejatuhan Sepanyol sebenarnya telah
bermula di Maracana setahun lalu apabila tewas 3-0 kepada Brazil dalam
perlawanan akhir Piala Konfederasi dan kemerosotan berterusan ketika tewas
kepada Chile.
Setiap pasukan Amerika Selatan dalam kempen kali ini
mendapat sokongan daripada peminat dari benua itu. Kekalahan 5-1 kepada
Belanda, menyebabkan Sepanyol memerlukan kemenangan ketika menentang Chile, tetapi
penonton di Maracana menyokong Chile sehingga menyebabkan mereka seolah-olah
bertarung sebagai tuan rumah. - BH/AFP
0 Response to "5 SEBAB UTAMA JUARA BERTAHAN SEPANYOL BUNGKUS AWAL-AWAL LAGI"
Post a Comment