Pelajar di tetak dengan pedang Samurai di Miri
MIRI, 15 Julai (Bernama) -- Seorang pelajar nyaris maut ditetak dengan pedang samurai oleh dua lelaki yang merompaknya di perhentian bas di Taman Tunku pada Isnin.
Dalam kejadian 10.10 malam itu, mangsa yang berusia 25 tahun berjaya melarikan diri ke dalam rumahnya yang terletak berdekatan perhentian bas berkenaan. Ketua Polis Daerah Miri, ACP Gan Tian Kee berkata bagaimanapun mangsa luka di belakang dan tengkuk.
Dia kemudiannya dihantar ke Hospital Miri dan dirawat sebagai pesakit luar. Beliau berkata ibu mangsa telah membuat laporan polis. "Mangsa bersama seorang rakan lelakinya sedang duduk berbual di perhentian bas itu apabila mereka didatangi dua lelaki dengan sebuah kereta.
"Kedua-dua lelaki itu keluar dari kereta mereka dan meminta wang serta telefon bimbit mangsa. Mangsa lari ke rumahnya dengan dikejar suspek yang bersenjatakan pedang samurai pendek dan menetak mangsa," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata suspek bagaimanapun merompak rakan mangsa barangan bernilai RM1,500 tanpa mencederakannya. -- BERNAMA
0 Response to "Pelajar di tetak dengan pedang Samurai di Miri"
Post a Comment