KUALA TERENGGANU, 10 Julai:
Pakej kedua projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang menghubungkan Jabor ke Cheneh di Kemaman, akan dibuka kepada semua lalu lintas pada 21 Julai ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, laluan sepanjang 26 kilometer itu akan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya sempena sambutan Aidilfitri pada akhir bulan nanti.
“Baki 54 kilometer keseluruhan LPT2 yang belum siap, dijangka dibuka selewat-lewatnya akhir tahun ini.
“Kita juga sedang meneliti kemungkinan untuk membuka laluan Cheneh ke Chukai pula, sekiranya sempat sebelum Aidilfitri ini, namun belum mendapat kelulusan dan belum diwartakan untuk membuka laluan terus Jabor-Cheneh-Chukai sepanjang 40 kilometer itu.
“Jika laluan ke Chukai itu sempat dibuka sebelum Aidilfitri, bermakna kita hanya perlu menyiapkan baki 40 kilometer sahaja lagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri, pada Rabu.
Projek LPT2 sepanjang 184 kilometer yang bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu itu, adalah kesinambungan projek LPT Fasa 1, iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006.
Projek LPT2 itu terbahagi kepada 16 pakej, iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus, dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.
Projek yang sepatutnya siap pada akhir 2010 itu, bagaimanapun mengalami masalah, apabila beberapa kontraktor yang dilantik, gagal menyiapkan kerja mengikut jadual, disebabkan masalah kenaikan harga barang binaan di pasaran.
0 Response to "LPT2 Jabor - Cheneh Akan Dibuka 21 Julai 2014"
Post a Comment