TAWAU: Masyarakat diminta agar tidak meminggirkan golongan orang kurang upaya (OKU) daripada memperoleh pendidikan kerana mereka juga mempunyai potensi tersendiri yang boleh dikembangkan.
Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat berkata, bagaimanapun aspek pendidikan yang hendak diberikan perlu disesuaikan dengan kemampuan golongan OKU berkenaan.
"Kejayaan sebilangan OKU memasuki beberapa institusi pendidikan tinggi awam dan swasta membuktikan mereka juga layak mendapat pendidikan sekiranya diberikan peluang. Oleh itu janganlah kita meminggirkan mereka (OKU)," katanya pada Program Ziarah Kasih Ramadan di Tanjong Batu, di sini, malam tadi.
Beliau juga berkata, pada masa ini kerajaan telah menyediakan banyak kemudahan untuk membela nasib golongan OKU supaya tidak terus terpinggir sebaliknya mampu memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara.
Pada masa yang sama, Hamisa yang juga Anggota Dewan Undangan Tanjong Batu turut menyarankan kepada sektor awam dan swasta dapat memberi peluang pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan dan kelulusan yang dimiliki oleh golongan itu.
"Sebagai masyarakat prihatin adalah menjadi tanggungjawab kita menerima golongan OKU seadanya serta memberi peluang kepada golongan itu untuk membuktikan kebolehan mereka," katanya. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Jangan Pinggirkan OKU Dalam Pendidikan."
Post a Comment