Sekolah Diminta Adakan Sesi Kaunseling Kepada Guru dan Pelajar Terlibat Isu Like I Love Israel

Georgetown: Pengetua sebuah sekolah menengah di Simpang Ampat, dekat sini, diminta mengadakan satu taklimat khas berhubung kes pelajarnya yang disiasat polis selepas menekan butang ‘like’ di laman Facebook ‘I Love Israel’, baru-baru ini.
Pengarah Pendidikan negeri Osman Hussain berkata, taklimat itu bertujuan membantu pelajar membuat keputusan yang lebih matang di laman rangkaian sosial.
Beliau berkata, ia memberi peringatan kepada warga sekolah supaya lebih peka dalam mengeluarkan pendapat atau memberi reaksi mengenai isu sensitif yang berlaku di sekeliling mereka.
“Perkara berkenaan adalah sesuatu yang perlu difikirkan dengan teliti sebelum dikeluarkan dan yang penting, semua pihak perlu menghargai perbezaan sebagai bukan satu ancaman.

“JPN bercadang mengatur sesi kaunseling kepada guru dan pelajar itu dalam masa terdekat serta berjumpa kedua-dua belah pihak semalam,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Daerah Timur Laut di Bayan Baru, semalam.

Selain mendapat kritikan guru dan rakan sekolah terbabit, tindakan pelajar tingkatan lima itu mengundang kemarahan pengguna laman sosial itu dan dikecam termasuk mencadangkan supaya pelajar itu dibakar manakala akaun Facebook pelajar itu dinyahaktifkan.
Osman berkata, pelajar itu kembali bersekolah seperti biasa dan berharap ia diselesaikan secara baik.

“Saya kesal kerana perkara ini dihebahkan ke laman sosial sehingga mencetuskan kontroversi.
“Kami juga meneliti tindakan terhadap kedua-duanya selepas siasatan polis,” katanya.

0 Response to "Sekolah Diminta Adakan Sesi Kaunseling Kepada Guru dan Pelajar Terlibat Isu Like I Love Israel"

Post a Comment