Dalang Membawa Beribu Pekerja Bangladesh Dikenal pasti Bergaji RM5 juta setahun


KUALA LUMPUR: Benarkah seorang lelaki bernama Ismail berasal dari Bangladesh dan mendapat taraf PR di negara ini terbabit membawa beribu pekerja Bangladesh tanpa pekerjaan ke Malaysia?

Setiausaha Kerja Barisan Nasional (BN) Bandar Tun Razak, Encik Zaharin Mohd Yassin yang mendedahkan perkara ini berkata, lelaki ini dipercayai mempunyai network sangat kuat atau ‘hubungan cukup istimewa’ dengan pihak tertentu di Kementerian Dalam Negeri (KDN)?

Katanya, sebelum ini lelaki berkenaan pernah dikaitkan atau berurusan dengan salah seorang pegawai (sudah dipindahkan) bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kini selepas menteri KDN bertukar, lelaki ini masih bergiat cergas menjalankan kegiatannya dengan pihak tertentu KDN yang diterajui menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Zaharin, lelaki bernama Ismail ini mempunyai tiga isteri dan mendapat anugerah ‘Datuk Seri’ dari sebuah negeri di sini. Dia bukan sahaja menjadi ‘orang tengah’ malah menjadi dalang membawa masuk beribu pekerja Bangladesh tanpa pekerjaan ke negara ini.

“Beribu pekerja Bangladesh dibawa masuk ke negara ini tanpa disediakan peluang pekerjaan. Apa yang penting, setiap tahun semua pekerja Bangladesh itu kena melaluinya untuk diperbaharui permit mereka. Anggaran pendapatan lelaki ini ialah RM5 juta setahun. Dan orang inilah yang menyebabkan lambakan Pendatang Tanpa Izin (PATI) Bangladesh termasuk bekerja sektor pertanian dan perladangan di Cameron Highlands. Kalau ditanya pandangan saya, sudah tiba masa PR lelaki ini ditarik balik dan dihalau keluar dari Malaysia,” tegasnya.

Tambah Zaharin lagi, sebelum ini dia pernah mendengar kisah menteri tertentu luluskan pemohonan kemasukan pekerja asing. Tetapi apabila sampai pada satu orang tertentu, tiba-tiba fail atau dokumen hilang.

“Bukan proposal sahaja kena curi, kelulusan pun kena curi,” ujarnya sambil berseloroh.


Sehubungan itu, Zaharin mahu pihak berkenaan menyiasat dakwaan ini seterusnya membawa pihak bersalah ke muka pengadilan. Tegasnya, apa yang didedahkannya ini bukan perkara main-main malah pihak berkuasa kena beri perhatian serius dan menyiasat perkara ini sehingga ke lubang cacing kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

0 Response to "Dalang Membawa Beribu Pekerja Bangladesh Dikenal pasti Bergaji RM5 juta setahun"

Post a Comment